SELAMAT DATANG

Jumaat, 9 Disember 2016



1. Pada 21 November 2016 / 21 Safar 1438H Mesyuarat Pengurusan Sekolah Akhir Tahun 2016 diadakan sebagai mesyuarat penutup pengurusan sekolah tahun ini.
2. Aku hampir dapat menyelesaikan semua tugas hakiki dan tugas sampingan ku untuk tahun ini.
3. Tahun ini Unit Kokurikulum yang ku galas amanah sebagai GPK Kokurikulum lantikan sekolah mencapai tahap yang cemerlang dari segi penglibatan murid dan pencapaian sukan. Tugas hakikiku sebagai Guru Prasekolah turut berjaya aku lunaskan sebaik mungkin.

 4. Pada mesyuarat akhir tersebut, aku serahkan Laporan Pengurusan Unit Kokurikulum 2016 yang julung kalinya aku sediakan. Segala laporan, data, pencapaian dan maklumat kokurikulum pada tahun ini aku masukkan dalam laporan tersebut.
5. Guru Besar ucapkan tahniah atas segala usaha tersebut.  Aku sediakan laporan tersebut bukan nak mengharapkan penghargaan atau nak bodek bos, tapi aku mahu segala kerja yang aku buat dilaksanakan secara tersusun dan teratur. 
6. Guru Besar juga mengumumkan jawatanku sebagai GPK Kokurikulum untuk tahun hadapan dikekalkan, walaupun sebelum ini pada mesyuarat kokurikulum yang terakhir, aku minta pertimbangan jawatan tersebut diberikan kepada guru lain.  Apa pun aku akur dan menerima dengan hati yang terbuka.  Kepercayaan dan keyakinan Guru Besar terhadap tugas-tugasku selama ini tidak harus aku persiakan.
7. Amanah yang harus aku galas untuk tahun 2017 bertambah besar dan mencabar.  Tambahan pula tugasku sebagai Guru Prasekolah yang akan melaksanakan kurikulum baru dan tugas sebagai GPK Kokurikulum yang sememangnya menuntut perhatian dan komitmen yang tinggi.  
8. Semoga Allah berikan aku petunjuk dan bantuan dalam mengharungi tugas dan amanah yang besar ini.

Wassalam.


Jumaat, 16 September 2016


Sesungguhnya janji Allah SWT itu pasti, setiap yang hidup pasti akan merasai kematian.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، 

"Ya Allah,ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."

14 Zulhijjah 1437H

Sabtu, 3 September 2016

Melewati Pertengahan Tahun


1. Alhamdulillah, masuk bulan September, telah melewati pertengahan tahun 2016 dan telah masuk ke bulan Zulhijjah.  Tugasku sebagai Guru Prasekolah dan turut menjalankan tugas GPK Kokurikulum lantikan sekolah masih perlu aku teruskan hingga penghujung tahun ini.  Banyak program dan aktiviti yang dirancang awal tahun telah dilaksanakan.  Tapi ada juga yang tertangguh yang perlu diselesaikan mulai September ini. Tertangguh kerana perancangan Allah itu lebih sempurna daripada perancangan manusia yang serba lemah ini.

2. Bagi urusan peribadi dan keluargaku.  Kesihatan isteri tersayang masih belum pulih sepenuhnya. Sakit yang dihidapi masih belum bertemu penawar yang terbaik.Tapi aku tetap bersyukur, isteriku bukanlah sakit yang berterusan dan masih boleh melakukan tugas harian seperti biasa.Mungkin ada hikmah disebaliknya.

3.Semuanya aku serahkan kepada Allah kerana sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang tidak aku ketahui.

01 Zulhijjah 1437H

Rabu, 30 Disember 2015

MESYUARAT PENGURUSAN SEKOLAH

17 RABIUL AWAL 1437H

1. Pada 28 Disember 2015 (Isnin) Mesyuarat Exco Sekolah Kali 1 bagi 2016.  Perbincangan tentang Buku Pengurusan Sekolah bersama Guru Besar, GPK Pentadbiran, GPK HEM dan aku sebagai GPK Kokurikulum. Mesyuarat ini juga berkisar tentang agihan tugas untuk semua guru untuk tahun hadapan sebelum di bawa dalam Mesyuarat Pengurusan Sekolah 2016.  Apa yang aku lihat, sikap keterbukaan Guru Besar selaku ketua jabatan dan rakan-rakan GPK sepanjang mesyuarat ini, menunjukkan kami sebuah pasukan dan team building yang baik untuk menguruskan sebuah organisasi.  Syabas!!!

2. 29 Disember 2015 (Selasa), berlangsung pula Mesyuarat Pengurusan Sekolah Kali 1/2016. Melibatkan semua guru termasuk kehadiran seorang lagi guru baru.  Mesyuarat untuk Unit Kurikulum, HEM dan Kokurikulum.  Bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir pada 3:50 petang. Mesyuarat yang agak panjang kerana melibatkan ketiga-tiga unit pentadbiran sekolah. Senarai jawatankuasa dan perancangan awal program dibentangkan.  Alhamdulillah, sepanjang mesyuarat berlangsung semuanya berjalan lancar.  Rakan-rakan guru menunjukkan komitmen dan kesediaan untuk menggalas semua tugas dan tanggungjawab bersama-sama.  InsyaALLAH segala kelemahan akan diperbaiki untuk mengharungi tahun 2016. 

3.  Untuk aku sebagai GPK Kokurikulum perancangan organisasi unit yang aku galas, aku susun secara jelas dan teratur agar lebih baik berbanding pada tahun lalu.  Aku menggalas tugas untuk mengemaskinikan Buku Pengurusan Sekolah 2016 agar lebih baik dan tersusun sebelum diedarkan kepada semua guru.  

4.  Aku secara peribadi memang suka kepada tugas-tugas perancangan dan menguruskan organisasi atau jawatankuasa program.  Bukan sebab aku ini nak jadi pentadbir atau ketua, tetapi bagi aku tugas yang berstruktur atau bersistem ini memang aspek yang aku gemari.  Memang aku ni jenis orang yang suka kerja dalam kerangka yang bersistematik, teratur, ada panduan, ada peraturan, dan ada perancangan strategik.  Harap-harap apa yang aku usahakan ini menjadi 'time frame' untuk aku lebih berkeyakinan dalam menggalas tugas dan tanggungjawab. Sesungguhnya manusia ini hanya mampu merancang, dan sebaik-baik perancang hanyalah ALLAH SWT.











5. Semasa mesyuarat itu juga, aku menyelesaikan tugas aku sebagai Setiausaha / Penyelaras Ladap 2015, dengan menyerah Sijil Penghargaan untuk semua guru yang telah memenuhi syarat 7 Hari Berkursus untuk tahun 2015. Mulai tahun hadapan, Setiausaha Ladap di bawah guru baru, tetapi aku tetap di bawah jawatankuasa itu sebagai Pengurus Ladap (In House Training).  Jawatan Setiausaha itu akan mohon diberikan kepada orang lain agar, tidak terlalu banyak jawatan penting.  Tambahan pula aku masih menggalas jawatan GPK, Guru Prasekolah, Pegawai Aset Sekolah dan lain-lain jawatan penting yang aku rasa takut tak kejar nanti. 


Ahad, 27 Disember 2015

MENJELANG 2016

15 RABIUL AWAL 1437 HIJRAH



1.  Menjelang tahun baru 2016, aku agak sibuk menyiapkan takwim dan organisasi kokurikulum. InsyaALLAH 2016 ini aku masih dipertanggungjawabkan menggalas amanah sebagai GPK Kurikulum Lantikan Sekolah.  Sebelum ini, telah aku utarakan kepada Guru Besar yang baru masuk Disember lalu, agar dipertimbangkan kalangan guru lain untuk menggalas tugas GPK Kokurikulum ini.  Namun dalam pertemuan aku dengan Guru Besar buat pertama kalinya pada 09 Disember 2015, GB masih meminta aku meneruskan tugas sebelum ini seperti biasa.

2.  Sebenarnya bukan aku keberatan untuk meneruskan tugas sebagai GPK Kokurikulum antara tanggungjawab aku sebagai guru, namun komitmen utama dan core business aku sebagai Guru Prasekolah terasa sedikit terabai, sejak aku menggalas tugas GPK Kokurikulum Februari 2014.

3.  Pada mulanya dahulu, aku bersetuju menerima lantikan sebagai GPK Kokurikulum ini atas permintaan Guru Besar sebelum ini (telah bersara 23 September 2015) dasar untuk membantu meringankan beban tugas guru-guru lain.  Kemudian berterusanlah aku menggalas tugas ini hingga akhir tahun 2015.

4.  Menjalankan tugas GPK dan dalam masa yang sama mengajar kelas prasekolah sepenuh masa, bukanlah satu situasi yang ideal dan selesa.  Inilah dilema yang dihadapi oleh guru-guru SKM.  Lantikan sebagai GPK di sekolah kurang murid ini bukan seperti GPK di sekolah gred A yang waktu mengajarnya kurang atas faktor memangku jawatan itu secara hakiki.

5.  Walau bagaimanapun, cabaran dan tanggungjawab itu tetap harus aku terima dengan hati terbuka dan bersikap positif.  Bagi aku amanah yang diberikan oleh orang lain atas rasa kepercayaannya kepada kita, harus dianggapkan sebagai tanggungjawab, bukan sebagai beban.  Jika beban yang kita anggap, maka segala usaha dan hasil kerja kita menjadi sia-sia dan akan membebankan kita nanti. "the positive thinker, sees the invisible, feels the intangible, and achieves the impossible".  Wassalam.





Jumaat, 25 Disember 2015

LAMA TAK MENULIS DIBLOG INI

Aduhai lama dah rasanya tak menulis diblog ini. Sebenarnya banyak perkara yang nak dikongsi tapi sering tak berkesempatan.

Sabtu, 21 Februari 2015

Menyusun Langkah....

Januari 2015 genap 10 tahun aku bergelar guru. Februari 2015 genap setahun aku menjalankan tugas sebagai GPK Ko-Kurikulum walaupun sekadar guru lantikan sekolah.

Perjalanan masih jauh, semoga langkah yang disusun terencana seperti mana dalam suratan Allah. Amin.